Bermula Semula

chatroom

my Metro : Biar 'sedap' pandu di lebuh raya

Biar 'sedap' pandu di lebuh raya

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
2010/03/23

DIA sering digosip menjadi 'belaan' Mak Datin dan kerabat diraja apabila dilihat memandu sebuah kereta BMW.

pix_middle



Bagaimanapun, semua dakwaan itu dilibas segera bekas bintang Akademi Fantasia 6 (AF6), Riz atau nama sebenarnya, Mohammed Idris Mohd Zaizizi.

Riz, 24, memberi penjelasan kenderaan mewah itu dibeli daripada komposer Ajai, menggunakan titik peluhnya sendiri ketika bertugas sebagai pramugara serta wang yang diperoleh daripada kerjaya artis.

Sekian lama cerita ini reda, tiba-tiba ia kembali membahang apabila Riz didakwa menerima hadiah sebuah kereta mewah bernilai jutaan ringgit iaitu Ferrari F430.


Bagai mengesahkan angin panas yang bertiup kencang itu, kereta itu dipertontonkan dalam sesi foto dengan Rap, baru-baru ini. Malah semua yang melintas di lokasi penggambaran di Putrajaya menoleh ke arah Riz dan 'mesin' empat roda yang mahal itu.

"Fuh, kereta ini sangat laju dan selesa. Mungkin dalam Malaysia ini hanya seorang atau dua orang saja yang memandunya. Hai, kalaulah ini kereta saya... bukankah seronok? Kalah impian Alice In Wonderland!" kata Riz sambil tertawa.

Hakikatnya, kereta yang dianggarkan berharga hampir RM1.5 juta itu bukanlah hak milik Riz, tetapi kepunyaan seorang usahawan, Erwan Datuk Azizi.

Motif di sebalik fotografi Riz bersama Ferrari itu?

Alasannya mudah saja kerana Riz ingin rasai pengalaman memandu kereta itu dan dia tidak menafikan memang sukakan kelajuan dan menatap kereta mewah.

Bercerita mengenai BMW 320i yang dimilikinya lebih setahun lalu, Riz mengakui dia suka mengambil angin dengan memandu keretanya itu pada waktu lapang.
"Sejak zaman sekolah lagi, setiap kali lihat kereta mewah, saya mula berangan-angan...kalaulah saya dapat memilikinya.

"Kebetulan sewaktu keluar daripada AF6, Abang Ajai mahu menjual kereta itu dengan harga yang sangat berpatutan. Saya pula masa tu baru memperoleh RM15,000 atas kejayaan menang tempat kedua dalam AF6.

"Selain ada sedikit duit simpanan ketika kerja pramugara dulu, saya terus tidak berfikir panjang-panjang. Rasa juga nak beli rumah, tapi orang muda macam saya selalunya mahu beli kereta dulu. Jadi duit itu saya pakai untuk membeli kereta idaman saya daripada Abang Ajai. Tambahan pula beli atas orang, tidaklah harganya mahal sangat.

"Bagi saya alah membeli menang memakai. Bila pandu di lebuh raya pun sedap," katanya yang kini mempertaruhkan lagu balada, Khilaf ciptaan Ajai.

Tidak hanya bercerita mengenai kereta mewah semata-mata, petang yang membahang di Putrajaya itu turut dimanfaatkan dengan menyorot perkembangan seni pemuda kelahiran Grik, Perak ini.

Nada suaranya yang ceria sedikit berubah seolah ada luka membeku dalam benak hatinya. Akui Riz, dia tidak menyangka betapa peritnya untuk bergelar anak seni khususnya penyanyi.

"Masa keluar AF dulu, saya fikirkan ia satu platform untuk cepat dikenali, tetapi ia bukanlah semudah yang disangkakan.

"Saya terpaksa berdepan dengan pelbagai situasi yang tidak pernah dijangka. Saya juga kena banyak bersabar untuk mendengar lagu saya diputarkan di radio.

"Hal ini kadangkala membuatkan saya agak kecewa, tetapi saya tidak boleh merungut kerana ramai penyanyi lain turut menghadapi masalah sama.

"Justeru, mahu tidak mahu saya perlu menggandakan usaha antaranya mempromosikan album sendiri kepada peminat melalui facebook (fb), laman web selain turun padang menjual sendiri CD walaupun sedar usaha itu agak sukar. Bagi saya pengaruh dan bantuan pihak radio sangatlah penting untuk membantu setiap penyanyi," katanya.

Jejaka Sagittarius ini menambah, mendengar keseluruhan hasil pembikinan albumnya dia percaya albumnya boleh dikategorikan dalam kategori memuaskan.

"Saya tak mahu album kita hanya ada satu dua lagu saja yang bagus, sebab itu saya letakkan banyak lagu sedap. Setakat ini saya dapat komen yang sangat positif daripada pendengar.

"Setiap lagu ada keunikan tersendiri dan saya memang lebih suka lagu sentimental dan sedikit up-beat.

"Noh daripada kumpulan Hujan turut mencipta lagu untuk album saya itu selain Ajai, Hajar, Norliza Abu Bakar. Sementara penulis lirik mengetengahkan ramai wartawan berpengalaman seperti Slen, Abie Abdullah, Rosli Manah dan Dean," kata Riz.

PROFIL
Nama penuh:
Mohammed Idris Mohd Zaizizi
Tarikh lahir: 19 Disember 1986
Usia: 24 tahun
Zodiak: Sagittarius
Asal: Grik, Perak
Pencapaian: Naib juara Akademi Fantasia 6 (AF6) dan pernah menganggotai kumpulan Equal Stars serta menyertai pertandingan Gang Starz musim pertama
Laman web: rizfc.forumotion.com
Impian: Ingin berduet dengan Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Anuar Zain

Posted by FCR | at 1:46 PM

0 comments:

Post a Comment