Bermula Semula

chatroom

Riz merajuk

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Riz berharap stesen radio komersial memberikannya ruang untuk mempromosikan album sulung.

Nekad beralih haluan jika 2011 tak bawa apa-apa kejayaan

ANDAI tidak kerana terlalu banyak rintangan yang terpaksa ditempuhi sebelum ini, barangkali Riz tidak akan menjadi setegar hari ini untuk merealisasikan setiap impiannya. Tiga tahun dia cuba mencari tapak, sinar kerjayanya menyerlah sedikit apabila meraih naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim keenam.

Bagaimanapun, kejayaan itu tidak memberi jaminan untuk dia terus melangkah selesa. Disebabkan itu kata Riz atau nama lengkapnya, Mohd Idris Mohd Zaizizi, dia memberikan tempoh sehingga 2011 untuk menggilap kemampuannya. Jika ditakdirkan perjalanan karier seninya masih terumbang-ambing sehingga detik itu, anak kelahiran Grik, Perak ini nekad mencari haluan baru.

Jelas jejaka berusia 23 tahun itu, dia enggan berterusan mengharap andai sudah tertulis rezeki untuknya bukan pada bidang nyanyian.

“Saya bermula sejak 2008 dan sedang melewati tempoh percubaan untuk melihat sejauh mana kehadiran serta bakat saya diterima.

Cukup saya beri tempoh sehingga 2011 dan jika masih tidak membuahkan hasil seperti diharapkan, saya mungkin akan mencari haluan lain.

Bukan berputus asa cuma saya tidak mahu terus membazirkan masa menanti sesuatu yang tidak pasti,” kata Riz.

Kenyataan hidup sebagai insan seni akui Riz, terlalu mencabar dan memeritkan. Riz pernah ditipu, hidup dalam kesempitan serta berkorban keselesaan sendiri untuk merealisasikan kelahiran album, Bermula Di Sini. Mengimbas semua pengalaman itu, Riz akur permulaan kariernya jauh daripada berada pada tahap selesa. Apatah lagi kehadiran Bermula Di Sini seakan dipandang sepi stesen radio komersial.

Sejak dilancarkan Oktober lalu, Riz masih menanti lagu nyanyiannya dimainkan radio.

“Agak mengecewakan apabila stesen radio enggan memberi peluang kepada bakat tempatan. Terasa segala susah payah dan pengorbanan tidak dihargai membuatkan saya tertanya apa serta di mana kurangnya album ini. Apakah perlu saya merayu lagu dimainkan baru mendapat perhatian? Saya cuba tebalkan muka bertanya tetapi bimbang nanti dituduh mengambil kesempatan.

“Dalam takut, saya perlu berusaha untuk menaikkan album ini. Bayangkan dalam tempoh tiga bulan, cuma Bermula Semula yang sesekali diputarkan radio. Jika tidak dibantu untuk dipromosikan, bagaimana saya mahu bertapak?,” luahnya kesal.

Sebagai penyanyi yang mengeluarkan peruntukan sendiri, besar harapan Riz untuk melihat Bermula Di Sini diterima pendengar.

Album itu penting kerana menjadi penyambung kepada permulaan langkah yang dicetuskan Riz ketika bersama AF6 dulu.

“Perit perjalanan saya kerana ketika itu saya baru membeli kereta. Mujur banyak tawaran persembahan diterima, alhamdulillah dapat diketepikan sedikit untuk pembikinan album ini. Saya ‘ikat kaki’ dan duduk di rumah kerana tidak mahu membelanjakan wang sesuka hati. Saya lawan perasaan yang meronta untuk membeli itu dan ini kerana ingin melihat Bermula Di Sini siap.

“Disebabkan itu saya terkilan dan kesal apabila album saya mendapat reaksi dingin daripada stesen radio. Jika semangat anak seni tempatan dibunuh awal, bagaimana kita mahu melihat industri hiburan berkembang,” katanya.

Riz juga berkata, dia percaya ruang untuk dia meyakinkan peminat dengan bakat dimiliki masih terbuka. Disebabkan itu dia memberanikan diri untuk melaburkan sejumlah wang bagi membikin Bermula Di Sini. Riz bagaimanapun, tidak menafikan pada permulaan dia sendiri kurang yakin untuk menghasilkan album penuh kerana banyak album di pasaran tidak menjadi. Apatah lagi ketika itu, Maestro cuma bersedia memberi peruntukan untuk dua lagu saja. Bagaimanapun sebelum semuanya siap, Maestro menutup operasinya.

“Mahu atau tidak, saya terpaksa mengeluarkan bajet sendiri kerana sudah menyalurkan banyak tenaga untuk pembikinan album itu,” kata Riz yang mempertaruhkan single Harusku Yang Pergi untuk meraih perhatian peminat.

Posted by FCR | at 12:53 AM | 0 comments