Bermula Semula

chatroom

BERMULA SEMULA - Metro Ahad 09 OGOS 2009



Bermula semula




Oleh FIRDAUS SAHAT
http://www.hmetro.com.my/


KERJAYA seni Naib Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Riz bagaikan suram. Barangkali, jika tiada single duet bersama Alyah, kemungkinan besar peminat sepi daripada alunan suaranya.

Bukan kemahuannya seperti itu. Sebaliknya pelbagai perkara terjadi dengan bekas pihak pengurusan. Malah, apa yang dijanjikan mereka tidak langsung ditunaikan.

“Tidak perlulah saya nyatakan syarikat berkenaan. Apa yang penting, harapan saya untuk melihat single pertama dipromosikan dengan baik, hancur. Malah, ada di antara mereka tidak langsung buat kerja.

“Bayangkan saja, single yang sepatutnya dihantar ke stesen radio tidak dihantar. Malah, apabila saya bertanya mengenai album single yang dikhaskan untuk media, mereka kata ia sudah dihantar dan stok berkenaan sudah habis.

“Nak dijadikan cerita, rupa-rupanya album single berkenaan tersimpan dan disorok di bawah meja. Dari situ, barulah saya dapat tahu promosi untuk single berkenaan tidak dijalankan,” katanya.

Tambah Riz, sudah pasti perasaan kecewa menghantui dirinya. Apabila syarikat berkenaan ditutup, Riz dilamar Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).

“Bagaimanapun, mereka tidak menawarkan pengurus untuk menguruskan kerjaya saya. Bukan bertindak meminta atau ‘demand,’ sebaliknya sebelum ini saya sudah mempunyai seorang pengurus yang banyak membantu saya.

“Jadi selepas berbincang dengan AESB, saya membuat keputusan untuk bergerak sendiri. Bahkan, dengan cara ini saya lebih selesa walaupun perlu mengeluarkan bajet sendiri untuk menghasilkan album mahupun single,” katanya.

Selepas lagu demi lagu diperdengarkan di corong radio, kini Riz tampil dengan single terbaru berjudul Bermula Semula. Katanya, lagu itu baru saja siap dirakamkan dan bakal dihantar ke stesen radio untuk dimainkan.

“Sekarang ini, saya hanya menunggu masa untuk ia dimainkan di radio. Sebelum ini, single terdahulu saya berentak agak perlahan jadi ia jarang mendapat perhatian pihak radio berkenaan.



“Harap-harap, single kali ini akan diterima peminat. Berikutan lagu saya jarang dimainkan di radio, ada peminat yang menganggap kerjaya seni saya semakin sepi. Sebenarnya tidak. Saya masih lagi aktif memeriahkan pentas nyanyian. Harap-harap, single ini akan mengubat rindu mereka,” katanya.

Menyentuh soal album terbaru daripadanya, Riz menjelaskan ia masih di dalam proses pembikinan. Buat masa ini, perancangannya tertumpu untuk menghasilkan single dahulu.

“Bagaimanapun, saya tetap tidak mengetepikan album. Untuk terus kekal relevan dalam dunia muzik, album memainkan peranan penting bagi seseorang penyanyi.

“Insya-Allah, jika tiada aral, album berkenaan akan siap pada Syawal ini,” katanya yang mengeluarkan wang sendiri untuk produksi album berkenaan.

Tambah menarik, ada pihak menyatakan dia turut menumpang populariti Alyah apabila berduet dengan penyanyi berkenaan menerusi lagu Ku Pinjam Satu Bintang.

Kerjasama yang terjalin serta paduan suara mereka itu, Riz dan Alyah dilihat serasi menyanyikan lagu berkenaan. Bagaimanapun, soal menumpang populariti tidak pernah wujud di dalam kamus hidupnya.

“Saya tidak kisah apa orang nak kata. Bukan mudah mahu menutup mulut mereka. Malah, bergandingan dengan Alyah menjadi rezeki buat saya apabila lagu berkenaan kini hangat dimainkan di radio.

“Soal populariti, kami masing-masing mempunyai kelompok peminat yang berbeza malah tidak pernah wujud mana-mana pihak menumpang populariti sesiapa,” katanya.

Posted by eddy riz fan'z fren'z | at 1:14 PM

0 comments:

Post a Comment